Saturday, October 18, 2008

JANGAN GADAI UMNO SEMATA-MATA WANG RINGGIT

Sanggup kita kita mengadai UMNO semata-mata permainan wang ringgit ini? Sanggupkah kita melihat UMNO hancur, UMNO lemah dek permainan politik wang yang berlaku pada hari ini?

Kita harus sentiasa ingata bahawa Parti UMNO dilahirkan atas himpunan semangat kebangsaan Melayu yang tulen untuk memperjuangkan kebebasan, keadilan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya Orang Melayu.

UMNO mengamalkan prinsip demokrasi, bukannya sistem diktator ataupun kuku besi. UMNO sentiasa mengutuk penindasan dan penyelewengan kuasa, ataupun mereka-mereka yang GILA KUASA. UMNO mendapat kuasa pemerintahan negara melalui undi dari rakyat, bukannya menerusi ugutan dan rasuah.

Pendekkata, UMNO adalah parti yang ditaja oleh rakyat. Ini bermakna kita bukanlah ditaja oleh golongan atau pemimpin-pemimpin tertentu yang mempunyai niat yang tidak baik, niat yang terpesong dari falsafah perjuangan sebenar UMNO.

Sedarlah, sedarlah tuan-tuan, sedarlah bahawa, perjuangan yang ditaja dengan wang ringgit atau lebih mudah saya katakan, rasuah politik, ia bukan sahaja akan mendatangkan kesan kepada pengamalnya, tetapi lebih teruk lagi ia akan mendatangkan kesan yang cukup buruk kepada UMNO itu sendiri.

Atas suara dan semangat demokrasi, setiap ahli UMNO di semua peringkat harus berpegang tegas dan menyokong penuh usaha pimpinan parti untuk membersihkan UMNO dari amalan buruk ini, ibarat kata peribahasa Melayu: Jika salah sebatang dicabut, salah serumpun dibongkar, salah separuh dirambah.

HIDUP UMNO!

MERDEKA. MERDEKA. MERDEKA

Friday, October 17, 2008

MAJLIS RAJA-RAJA

Barisan kepimpinan Pemuda UMNO dan seluruh generasi muda negara ini, menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada ke bawah duli Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu di atas kenyataan khas mengingatkan seluruh rakyat tentang asas kenegaraan Malaysia yang sudah berlandas kukuh sejak kemerdekaan yang telah membawa negara sehingga ke tahap seperti yang ada pada hari ini.

Kenyataan khas itu adalah tanda kasih sayang dan keprihatinan Sultan dan Raja-Raja Melayu kepada kepentingan asas penubuhan Malaysia, keharmonian hubungan di antara kaum dipelihara, kedudukan agama Islam dan Sistem Raja Berpelembagaan dihormati supaya sentiasa kekal bersatu padu, harmoni, aman dan makmur.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein berkata, kenyataan dan pendirian ini sememangnya dinantikan dan saya amat bersyukur kerana saya yakin Institusi Raja-raja ini adalah kekuatan Negara kita di mana ia bukan hanya melindungi orang-orang Melayu sahaja malah memayungi rakyat Malaysia keseluruhannya. Saya percaya rakyat Malaysia juga amat berbangga dan berterima kasih dengan peringatan yang dibuat kerana ia mencerminkan bahawa yang sedang kita pertahankan adalah institusi Raja-raja sebagai lambang perpaduan di Negara ini dan bukan kepada mana-mana individu atau kumpulan.

”Saya menyeru dan berharap, agar semua pihak mengambil perhatian serius kepada peringatan Majlis Raja-Raja itu bahawa dalam keadaan apa sekali pun kita perlu bertanggungjawab dan tidak boleh membenarkan serta mempersoalkan asas kenegaraan dan kemakmuran yang dinikmati selama ini. Kenyataan itu membuktikan tahap keseriusan suasana yang berlaku hari ini boleh menjurus kepada sesuatu yang boleh mengancam kedudukan negara jika tidak dihentikan. Jangan ada mana-mana pihak menyalah anggap kenyataan Majlis Raja-Raja itu dan mengaitkannya dengan agenda atau kepentingan kaum-kaum tertentu saja,”.

Maka kami mahu soal-soal yang termaktub dalam perlembagaan Persekutuan berkaitan institusi Raja-Raja Melayu, keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dipersoalkan lagi pada masa depan.

Kita perlu sedar bahawa kedudukan dan hak keistimewaan yang termaktub di dalam Perlembagaan tidak pernah dipertikaikan oleh rakyat di Negara ini tetapi ia sering kali digunakan oleh segelintir pemimpin demi kepentingan mereka semata-mata.

Marilah kita bersama-sama mengambil peringatan penting ini supaya negara kita sentiasa berada pada landasan keamanan, keharmonian sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat. Apa yang lebih penting ialah untuk kita lebih proaktif memainkan peranan dan memberi sumbangan bermakna kepada pengukuhan negara sehingga membawa Malaysia ke puncak kecemerlangan.

Pada masa yang sama kenyataan khas Majlis Raja-Raja itu juga secara tidak langsung mengingatkan mana-mana pihak dan individu yang chauvanist, berkepentingan peribadi, mahukan populariti supaya berhenti daripada menodai keharmonian dan asas kenegaraan kita.

Peranan Majlis Raja-Raja juga membuktikan pengorbanan, jasa, legasi dan kedaulatan Kesultanan Melayu ketika mencapai kemerdekaan mahupun pada waktu aman dan kritikal sepanjang 50 tahun ini masih memberi makna yang besar kepada hidup dan kesinambungan negeri ini.

Berhentilah daripada mengkhianati kalau mahu terus hidup bersama negara ini dan nikmati keharmonian yang ada. Elakkanlah pergeseran dan pertelingkahan, khususnya hal ehwal berkaitan mana-mana sentimen kaum dan agama. Kita sudah tiada masa untuk chauvanisme dan populariti, Malaysia perlu terus mengorak langkah maju dan meredah pelbagai cabaran domestik dan global.

UMNO bukan untuk berpolitik semata-mata

UMNO merupakan sebuah parti politik. Tetapi wujudnya UMNO bukan kerana kita hendak berpolitik semata-mata. UMNO ditubuhkan kerana kita tahu bahawa melalui politik, kita boleh mempertahankan hak dan memperbaiki nasib orang Melayu, agama Islam dan Negara kita Malaysia yang kita cintai ini. UMNO dan perjuangan politiknya adalah sebagai instrument dan jentera untuk mencapai matlamat yang telah kita rancangkan.

Kita perlu kepada kuasa politik kerana kuasa politik boleh menentukan pencapaian matlamat kita. Lebih kuat kuasa politik kita, lebih mudah kita mencapai matlamat yang telah kita tentukan. Sekiranya kuasa politik kita lemah, maka sukarlah kita mencapai matlamat kita. Jika kuasa politik kita lumpuh, maka segala cita-cita orang Melayu akan menjadi angan-angan semata-mata.

`TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA'

Ada pepatah atau ungkapan Melayu yang berbunyi, Laksamana Hang Tuah pernah berkata ‘Takkan Melayu hilang di dunia’. Sehingga ke hari ini, benarkah kita tak hilang? tetapi jenis apakah Melayu yang tidak hilang ini. Tetapi apakah jenis Melayu yang masih ada pada hari ini. Kita pernah hidup di Negara kita sendiri sebagai hamba kepada bangsa-bangsa asing, selama 450 tahun. Benar…hari ini kita sudah bebas dan sudah dapat memerintah dengan sendiri. Tetapi apakah kita sudah menjadi bangsa yang benar-benar berjaya dan bermaruah.

Thursday, October 16, 2008

AMARAN TUN MAHATHIR (1994)

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau merasmikan Perhimpunan Agung Khas UMNO pada tahun 1994, beliau telah memberi amaran kepada ahli-ahli UMNO:-

”Jika kita menerima Politik Wang dalam parti, jika rasuah menjadi budaya parti UMNO, jika para pemimpin kita mendapat tempat melalui sogokan, kita akan mempunyai kerajaan yang dipenuhi,dianggotai dan dipimpin oleh penjenayah rasuah. Bolehkah kita percaya para pemimpin seperti ini dapat memerintah dengan bijak, lurus, jujur dan adil?

Bolehkah kita yakin yang Negara kita akan terus maju di bawah kepimpinan mereka? Bolehkah kita yakin orang Melayu dan Bumiputera lain tidak akan dijual oleh pemimpin-pemimpin yang kita pilih? Hanya orang yang tidak siuman sahaja yang akan percaya bahawa pemerintahan oleh penjenayah rasuah akan membawa kebahagian kepada Negara dan kepada kita”.

Wednesday, October 1, 2008

EXCO PEMUDA UMNO MALAYSIA

Alhamdulillah, setelah difikir dengan semasak-masaknya, setelah dibawa berbincang dengan sahabat-sahabat dan mendapat buah fikiran dari sanak saudara, saya dengan ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Saya memohon maaf kerana tidak dapat meneruskan hasrat untuk bertanding jawatan Naib Ketua, sebagaimana yang saya umumkan sebelum ini. Saya memberikan harapan kepada calon yang bertanding iaitu saudara YB Razali dan Dato Reezal untuk bersama-sama mengembalikan semula keperkasaan UMNO, khususnya Pemuda UMNO.

Oleh yang demikian, misi saya menawarkan diri ialah untuk mengembalikan semula suara Pemuda UMNO sebagai kumpulan pendesak kepada kepimpinan Negara untuk melahirkan peluang yang sama kepada semua rakyat menikmati kenikmatan pembangunan Negara. – Zaini Ismail

Tuesday, July 22, 2008

JANGAN CAMPURI URUSAN MALAYSIA- Mukhriz

Pemuda UMNO membidas AS yang berterusan campur tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia, khususnya berhubung penahanan DS Anwar Ibrahim berhubung dakwaan meliwat pembantu penasihat PKR itu.

EXCO merangkap Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Sean McCormack, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat yang menyatakan penahanan Anwar menimbulkan kebimbangan terhadap kedaulatan undang-undang kita, perlu diingatkan bahawa negaranya tidak langsung menghormati doktrin apabila menceroboh Iraq, sebuah Negara yang mempunyai 28 juta penduduk.

Kerana pencerobohan dan serangan ketenteraan Amerika dan sekutunyalah…. Iraq kini adalah negara yang kucar kacir, di mana kedaulatan undang-undang sudah tidak wujud lagi, dengan anggaran konservatif seramai lebih daripada sejuta nyawa yang tidak berdosa kerana pencerobohan haram, itu dilakukan dengan muslihat dan tipu helah.

Bagi Mukhriz, adalah lebih baik bagi mereka seperti McCormack dan Senator Joseph Biden, yang mendakwa bahawa penahanan Anwar adalah bermotifkan politik, berusaha mengatasi kelemahan dalam sistem kehakiman Amerika sebelum ajar Malaysia tentang kedaulatan undang-undang.

Anwar ditahan mengikut peruntukan undang-undang Malaysia, disoal-siasat mengikut peraturan dan undang-undang serta dibebaskan sebaik sahaja pihak polis selesai lakukan siasatan. Beliau telah dilayan sebagai tahanan jenayah yang lain dan tidak ada satu pun haknya sebagai tahanan dilanggar.

Sehubungan dengan itu, Biro Hubungan Antarabangsa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Pemuda UMNO menganggap kenyataan Jabatan Negara atau kenyataan seumpama yang dilakukan mana-mana pihak luar, sebagai memandang rendah kedaulatan Malaysia dan integriti Polis DiRaja Malaysia.

Monday, July 14, 2008

PERALIHAN PUCUK PIMPINAN UMNO- Wajarkah jawatan no 1 dan 2 dipertandingan?

Jawatan Presiden, Timbalan perlu dipertandingkan- Muhyiddin

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO masih perlu dibuka untuk dipertandingkan pada Disember ini walaupun sudah ada pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.

Ia demi menyuburkan demokrasi dalam UMNO, kedua-dua jawatan tertinggi itu perlu bersifat lebih terbuka untuk dipertandingkan namun kini pun sudah wujud satu halangan iaitu sistem kouta bagi merebut jawatan-jawatan berkenaan oleh itu tidak perlu lagi ada halangan lain untuk mereka yang mahu bertanding jawatan terbabit.

Pesaing jawatan Presiden, Timbalan sukar- Rais Yatim

Bagaimanapun Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sesiapa yang berhasrat mencabar jawatan Presiden UMNO dan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak pada pemilihan parti Disember ini akan menemui jalan sukar untuk menang.

Ini kerana mengikut tradisi UMNO, ahli-ahlinya sentiasa berpegang pada status quo terutama setelah Abdullah mengumumkan akan melakukan peralihan kuasa kepada Najib pada pertengahan 2010.

''Saya kira kesukaran itu ada sebab tradisi UMNO ini walaupun perlembagaan parti tidak menghalang namun ahli-ahlinya menghormati status quo dan tahap (penghormatan) itu begitu tebal. Ia suatu halangan kepada mereka yang hendak mencabar (jawatan Presiden atau Timbalan Presiden),".

Beliau ditanya peluang untuk menang oleh mana-mana individu yang berhasrat bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan Disember ini setelah Abdullah pada Khamis lalu mengumumkan akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib pada Jun 2010.

Setakat ini, hanya bekas Presiden Parti Melayu Semangat 46 yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berhasrat mencabar Abdullah pada pemilihan tersebut. Menurut Rais, apatah lagi sistem kuota untuk melayakkan seseorang bertanding memerlukan pencalonan tertentu daripada bahagian sekali gus menyukarkan seseorang itu untuk melepasi tahap persaingan tersebut.

Perang psikologi makan diri - Mukhriz

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu memberi pelbagai alasan dan mengadakan perhimpunan politik sebaliknya bersedia berhadapan dengan dakwaan terbaru kes liwat membabitkan beliau serta membuktikan sama ada ia betul atau sebaliknya.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, beliau hairan bagaimana Anwar hanya mengulangi alasan lama seperti yang pernah dinyatakannya satu masa dahulu iaitu konspirasi untuk menjatuhkan beliau.

Mukhriz berkata, tiada individu yang sanggup mendedahkan keaiban seperti dilakukan Saiful jika ia tidak benar.

Pada 28 Jun lalu, pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis mendakwa Anwar meliwatnya beberapa kali termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun lalu.

''Saya ingat tidak ada orang yang mahu mendedahkan aib begini. Jika ia bohong, rasa malu tidak dapat disembunyikan sehingga tujuh keturunan,'' jelasnya.

Katanya, perang psikologi yang sedang digunakan Anwar bakal mendedahkan kepada umum situasi sebenar yang akan berlaku.
''Mudahkan sahaja cerita, mengaku sahaja anda liwat Saiful atau tidak," ujarnya.

Tegasnya, tindakan pertama Anwar yang 'melarikan diri' ke kedutaan Turki sudah menunjukkan perasaan takut dan tanda beliau tidak boleh berdepan dengan realiti.

''Kenapa masa mula-mula dituduh anda lari, itu menunjukkan anda takut dan ada sesuatu yang sudah terjadi," katanya.

Gunakan mesyuarat UMNO cawangan mantapkan parti

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menasihatkan ahli-ahli UMNO supaya menggunakan peluang mesyuarat UMNO peringkat cawangan yang akan berlangsung mulai Khamis ini bagi memantapkan parti untuk berhadapan pilihan raya umum akan datang. Beliau berkata, oleh itu kesempatan yang ada itu perlu dimanfaatkan untuk membahaskan masa depan dan perjuangan parti selain memikirkan tentang mesej daripada keputusan pilihan raya umum lalu. Katanya, mesyuarat itu juga kelak patut memikirkan apa bentuk perubahan dan transformasi kepada bukan sahaja UMNO tetapi Barisan Nasional (BN).

‘‘Kita perlu sedar bahawa ujian kita selepas ini bukannya soal pemilihan, tetapi adalah selepasnya iaitu bagi memantapkan parti bagi berdepan pilihan raya umum ke-13.”

Hishammuddin ditanya mengenai nasihat beliau kepada ahli-ahli UMNO di seluruh negara menjelang mesyuarat UMNO peringkat cawangan yang akan berlangsung 17 Julai ini. Berhubung pemilihan parti, beliau menasihatkan Pemuda UMNO khususnya supaya menggunakan kesempatan itu untuk membentuk satu barisan yang lebih mantap. Katanya, ini supaya perjuangan UMNO akan dapat memenuhi cita rasa orang ramai khususnya generasi muda.

‘‘Sesiapa yang hendak menawarkan diri sebagai pemimpin di dalam UMNO perlu juga mengambil kira hubungan dan perjuangan mereka dengan rakan-rakan dalam BN,” katanya.

Sunday, July 6, 2008

Kembali ke landasan perjuangan Melayu

Veteran Umno menggesa semua pemimpin Melayu supaya kembali ke landasan perjuangan sebenar dan tidak meletakkan kepentingan peribadi mendahului kepentingan rakyat bagi memastikan keadaan politik negara kembali bersih.

Kebanyakan mereka melahirkan rasa bimbang dengan keadaan politik sekarang yang semakin meruncing dengan pelbagai taktik dan permainan kotor serta tidak lagi bertunjangkan kepada standard moral yang tinggi meskipun kononnya bertindak berdasarkan kebenaran.

Mereka juga berpendapat kemelut berpanjangan ini perlu dihentikan segera sebelum rakyat menjadi mangsa kerana terkeliru akibat kekalutan politik pemimpin Melayu yang tampak seolah-olah tiada penghujungnya buat masa ini.

Veteran Umno, Tan Sri Aishah Ghani, berkata keadaan yang timbul sekarang ini terlalu jauh berbeza daripada senario politik yang dilalui ketika beliau aktif berpolitik sejak zaman awal kemerdekaan dulu.

“Pada masa itu juga berlaku krisis dan kita turut menerima tentangan daripada pembangkang yang tidak kurang juga hebatnya. Tetapi kami masing-masing tahu had dan sempadan sebagai orang Melayu yang beragama Islam.

“Kemelut perbezaan pandangan daripada parti bahkan dari dalam Umno sendiri berjalan dengan batas cara kita dan jangan sampai tahap begini. Ini adalah krisis terburuk yang pernah saya lihat setakat ini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Veteran Umno, Tan Sri Zaleha Ismail, berkata semua ahli parti daripada peringkat akar umbi perlu melakukan sesuatu untuk kembali mendapatkan kepercayaan rakyat dan tidak terlalu berkeras mahu mempertahankan pendirian masing-masing.

“Rakyat sudah bagi isyarat yang jelas dan dalam masa yang sama masih mengekalkan kita selepas pilihan raya dulu yang memberi maksud pemimpin perlu melakukan sesuatu. Ia sangat jelas.

“Harapan saya kepada ahli Umno supaya memilih pemimpin yang dikehendaki rakyat dan mampu memimpin dalam keadaan goyah ini. Kita perlu jujur bertanya diri sendiri apakah keputusan kita dikehendaki rakyat atau kita nafikan kehendak mereka,” katanya.

Seorang lagi Veteran Umno, Tun Dr Fatimah Hashim pula menggesa ahli parti dan pemimpin supaya bekerja keras untuk memulihkan imej jika sayangkan parti.

Katanya, pertelagahan sesama sendiri perlu dihentikan dan menyusun kembali parti supaya lebih berdaya juang dan mampu kembali meraih kepercayaan orang rakyat.

HUBUNGAN ANWAR-AS: Satu pengkhianatan terhadap kedaulatan Malaysia

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein berkata, Pergerakan Pemuda UMNO sekali lagi mengulangi bantahan ke atas kenyataan Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tom Casey yang menentang sebarang penyiasatan atau pendakwaan bermotifkan politik terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Pemuda membantah sekeras-kerasnya tindakan Washington ini dan melihat campurtangan pihak lain seperti Turki yang pernah melindungi Anwar serta akhbar tabloid Singapura yang sengaja mahu mengaibkan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, sebagai satu perkembangan yang tidak sihat di mana kuasa-kuasa asing cuba mencampuri hal ehwal negara kita.

Pemuda melihat perkembangan ini mempunyai kaitan dengan Anwar dan membuat pendirian bahawa satu tindakan tegas perlu diambil untuk menyatakan amaran serta bantahan kita terhadap pihak ketiga agar jangan sekali-kali cuba mencampuri urusan Malaysia.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO akan mengadakan satu perhimpunan besar-besaran bagi menunjukkan bantahan terhadap tindakan Amerika serta kuasa asing lain yang mencampuri urusan perundangan negara selain membantah usaha Anwar yang cuba meraih simpati negara-negara asing untuk mengalih perhatian ramai ke atas siasatan dirinya sendiri.Kecenderungan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) untuk mencampuri urusan dalam negara ini, khususnya berkenaan kes liwat Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim terhadap pembantunya, Saiful Bukhari Azlan menimbulkan banyak persoalan mengenai hubungan pentadbiran AS dan Anwar.


AS Jangan campuri urusan Malaysia

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pemuda UMNO Melaka, Ashakari Abu Nor berkata, amaran pentadbiran AS untuk campur tangan dan membantah siasatan terhadap kes itu adalah ulangan kepada episod 1998 apabila pentadbiran AS, menerusi Madeline Albright dan Al-Gore juga cuba menyokong dan campur tangan di dalam menjayakan gerakan reformasi jalanan oleh Anwar dan PKR bagi menekan Kerajaan Malaysia.

Semua pihak, baik kerajaan mahu pun seluruh warga negara berdaulat ini tidak boleh memandang ringan terhadap hubungan erat AS dan Anwar sehingga memberi amaran dan mencampuri urusan dalaman Malaysia.

Hubungan Anwar dan pentadbiran AS jelas bagaikan satu pengkhianatan kepada kedaulatan Malaysia. Apakah hubungan mereka? Apakah agenda AS dan peranan Anwar di dalam menjayakan rancangan mereka?

Oleh itu, Pemuda UMNO Melaka mendesak satu siasatan terperinci dilakukan oleh Polis dan pasukan keselamatan tentangan hubungan Anwar & pentadbiran AS. Malah siasatan itu juga boleh menjelaskan segala persoalan rakyat terhadap Anwar, mahu pun menjelaskan kedudukan sebenar Anwar dengan pentadbiran AS.

Jika tidak masyarakat akan terus menerus menyaksikan sifat dan sandiwara Anwar yang setiap kali menerima tuduhan sibuk menggunakan media dan ceramah umum, bukan platform mahkamah. Siasatan Polis diperkecilkan.

Sebaliknya Anwar sentiasa meraih simpati orang ramai, tanpa menjawab soalan, dia akan mengalih tumpuan ramai, memutarbelitkan kenyataannya sambil memprovokasi, menuduh dan mendakwa kebenaran pihak lain.

Friday, June 27, 2008

MISI MENAWARKAN DIRI SEBAGAI NAIB KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, siapa saya untuk bertanding Naib Ketua Pemuda UMNO?

Oleh yang demikian, misi saya menawarkan diri ialah untuk mengembalikan semula suara Pemuda UMNO sebagai kumpulan pendesak kepada kepimpinan Negara untuk melahirkan peluang yang sama kepada semua rakyat menikmati kenikmatan pembangunan Negara. – Zaini Ismail

LAPORAN FORUM `HARAPAN MALAYSIA’ DI IPOH





Laporan dari: http://akubencipaklah.blogspot.com

Perjalanan pagi semalam, sungguh menarik. Saya dan sahabat saya Mr. Styloo awal-awal pagi lagi telah bertolak ke Ipoh, Perak untuk mendengar dan memberi sokongan padu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan berucap di “Forum Harapan Malaysia” - Ipoh.

Majlis berlangsung di Dewan Bulan Sabit Merah, Ipoh iaitu berhampiran dengan Stadium Perak. Jadual acara majlis seperti yang diberitahu bermula pada pukul 10.00 Pagi. Pada awalnya kami merancang untuk ke Ipoh ini pada pukul 8.00 pagi tapi biasalah kita mampu merancang tapi tuhan yang menentukan. Akhirnya perjalanan kami bermula pada pukul 9.00 pagi, ianya agak lewat sedikit. Jangkaan kami perjalanan kami ke Ipoh akan mengambil masa selama 2 jam seperti biasa yang pernah saya lakukan. Apa lagi tekan habis pedal minyak sampai tak ingat had laju dah. Biasa ler “keter power”. Akhirnya kami sampai juga ke tempat yang kami ingin tuju pada pukul 10.30 pagi. Kami lihat banyak deretan kereta berhampiran dewan itu. Agak jauh juga kami parking kereta power ni. Jauh jugalah berjalan hingga sampai ke pintu dewan.

Terdapat juga ramai anggota polis yang mengawal lalu lintas di situ, Alhamdulillah ia nampak terkawal. Diluar dewan terdapat khemah-khemah serta skrin-skrin televisyen disediakan di luar dewan bagi mereka yang tidak dapat duduk di dalam dewan kerana penuh sesak dengan manusia di dalamnya. Yang berdiri pun ramai. Ramai juga orang Perak datang , tidak kira tua, muda, kanak-kanak, melayu, cina, india, sikh, dll. Dalam hati saya berasa sungguh bangga bercampur gembira melihat kehadiran mereka di sini semata-mata untuk mendengar sendiri ucapan dan amanat dari YAB Tun Dr Mahathir sendiri. Walaupun diberitahu terdapat beberapa halangan besar untuk menjayakan majlis ini. Lebih membanggakan saya dan juga rakan-rakan lain (yang datang dari luar negeri perak) keberanian penganjur menganjurkan majlis ini untuk memberi penjelasan lanjut dan penerangan kepada rakyat tentang situasi politik tanahair tercinta ini serta kesanggupan mereka “melawan arus” untuk menyusun langkah seterusnya. “Tahniah dan Syabas” kepada mereka yang terlibat menjayakan majlis ini.

Saya difahamkan Forum “Harapan Malaysia” yang dianjurkan oleh Cawangan UMNO Tasik Tanjung Belanja, Bahagian Parit, Ipoh, Perak yang diketuai oleh ketua cawangannya sendiri iaitu saudara Zaini Ismail. Majlis itu juga turut dihadiri oleh ADUN Sungai Rapat, Puan Hamidah Osman. Selain itu Tun Dr Siti Hasmah kelihatan juga ‘Otai UMNO’ yang lain seperti Tan Sri Sanusi Junid & isteri, Dato’ Paduka Ibrahim Ali dan rakan-rakan, Dato’ Kamal Amir, Dato’ Haji Yahya Shafie & isteri dan juga beberapa pemimpin UMNO peringkat bahagian negeri perak dan juga ramai lagi yang saya tidak dapat sebutkan di sini. (maaf kerana saya masih baru dalam bidang penulisan blog dan banyak lagi yang perlu dibaiki...)

Sungguh terharu dan rasa bangga saya kerana dapat melihat dan menyaksikan keberanian dan semangat juang yang tinggi yang ada pada meraka. Saya berkata demikian kerana dapat mendengarnya sendiri bagaimana mereka meluahkan perasaan kecewa, marah dan ketidakpuasan hati masing-masing terhadap kelemahan, kerakusan dan kelembikan pimpinan tertinggi kerajaan kita sekarang ini dan ketakutan untuk bersuara oleh pemimpin2 lain di bawah kepimpinan Pak lah ataupun "Parti Paklah & Keluarga" (bukan lagi parti Umno seperti yang disebut oleh Tun Dr Mahathir dlm ucapannya pagi itu).

Acara dimulakankan dengan bacaan doa, lagu Negaraku dan juga lagu rasmi UMNO. Ini biasalah “Standard of Procedure (SOP)" untuk setiap majlis UMNO. Tapi sampainya kami di dalam dewan tersebut acara mendeklamasikan sajak oleh seseorang yang saya panggil “kakak” (nama tak ingat..akan cuba update disini) mendendangkan dengan penuh semangat dan beremosi hingga saya tengok segelintirnya meleleh-leleh airmata mereka pagi tu termasuklah “kakak ni” (InsyaAllah saya akan mendapatkan nama sebenar dan sajak tersebut untuk tatapan pengunjung di blog saya ini. Yang lain tu nampak khusyuk dan sebak jugaklah. Mengikut kata hos pada majlis tu (saya panggil “kakak” jugak lah!) sajak itu adalah hasil nukilan beliau dan seterusnya menghadiahkan kepada Negarawan Ulung kita iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Bab kakak baca sajak habis.- Diharap kepada “kakak” ni semoga dapat mendidik dan menyedarkan anak bangsa kita supaya cinta kepada agama, bangsa dan tanahair yang tercinta ini memandang tanggungjawab beliau sebagai seorang pendidik (Tidak ingat di Universiti mana..nanti saya update disini)

Kemudian diikuti ucapan dari wakil penganjur majlis tersebut iaitu saudara Zaini Ismail. Nampak begitu bersemangat serta kelantangannya menyuarakan rasa yang terbuku dihati dan menyedarinya jika dia tidak memulakan langkah ini, maka kerisauannuya melihat parti keramat UMNO ini akan berkubur akibat kelemahan pemimpin tertinggi dan kemungkinan terlepas ke pihak lawan - Barisan Rakyat, pimpinan saudara Anuar Ibrahim – yang akhir-akhir ini begitu kuat membuat propaganda akan menjatuhkan serta merampas kuasa dari "Kerajaan Paklah & Co" ini. seterusnya menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-6 dan seterusnya cadangan bakal TPM pula sudah disebut iaitu bakal bekas Presiden SAPP Dato Yong Teck Lee oleh “si lahabau” ni ( Baca Sini ! ) .

Terus terang saya katakan bagi saya, saya tidak terkejut langsung dengan kenyataan “si lahabau” ni. Yang tersiratnya di sini bagi saya, dia membuat kenyataan ini bagi pihak saudara Anuar Ibrahim kah? ataupun pihak lain kah? Miliki kuasa dalam menentukan kedudukan tertinggi kerajaan Anuar Ibrahim kelak kah?. Adakah dia juga ingin menguji kita dengan sintemen perkauman?. Tidakkah nanti orang melayu (baik pihak kerajaan ataupun pembangkang, janji melayu dan agamanya islam) akan mempertikaikan kedudukan jawatan TPM adalah dilantik dari kalangan bangsa lain selain orang melayu!. Dimana saya sangat percaya dan yakin bahawa 2 kerusi peringkat tertinggi ini seharusnya dikekalkan kepada bangsa melayu/Islam yang lain hingga dunia kiamat nanti. Waallahuallam.. Tapi “si lahabau” ni dah banyak buat hal. Sampai bila? Tunggu sahaja “kebenarannya” nanti. Thats All ! Enough is Enough!

Pada pendapat saya, syarat ini bukan bermakna pihak kerajaan akan mengabaikan kedudukan dan hak-hak kaum lain di malaysia ini. Mereka juga perlu diberi pemerhatian kerajaan dan mencari penyelesaian bersama dalam menyelesaikan isu-isu kaum lain di Malaysia ini. Penerimaan majority kaum di Malaysia ini telah terbukti melalui proses pilihanraya sebelum ini yang mana kerajaan mendapat mandat penuh melebihi 2/3 majoriti undi daripada rakyat Malaysia amnya yang berbilang bangsa dan agama di negara ini. Masalah perkauman ini sebenarnya adalah isu lapok . Rakyat diperbesarkan dengan isu ini supaya rakyat terpengaruh dan membuat rakyat bertelingkah sesama sendiri.. Apapepun sejarah sudah mencatatkan tentang kejadian dan ‘pengalaman’ rakyat mengenainya. (saya akan ulasnya di posting akan datang – bertajuk “Isu Perkauman Isu lapok” – Insyaallah jika diizinkan. Untuk makluman anda juga diakhir ucapan, beliau telah “mengisytiharkan” dirinya untuk bertanding kerusi Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia (jika saya salah dengar sila betulkan) pada pemilihan Disember ini.

Kemudian acara kemuncaknya ialah ucapan dari YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad. Mengenai ucapan YAB Tun Dr Mahathir secara terperinci dan tepat di dalam majlis ini, anda boleh mengikutinya di laman blog Biggum Dogmannsteinberg ( Baca Sini ! )

Saya merasakan rakyat negeri Perak yang hadir telah mendapat "mesej" serta penerangan yang jelas berkaitan isu semasa politik mutakhir ini dan Harapan Malaysia seterusnya daripada YAB Tun Dr. Mahathir. Apabila sesi soal jawab dimulakan, kelihatan beberapa orang sudah bersedia dengan soalan-soalan yang ingin ditujukan kepada YAB Tun dr Mahathir. Segala soalan daripada orang ramai telah di jawab. Antara isu-isu yang dijawab oleh YAB Tun Dr. mahathir ialah isu berkenaan :-

- SCOMI, MTrans dan RapidKL,
- NST sebagai Media UMNO dan peranannya,
- masalah kepimpinan cara Pak Lah menguruskan negara
– peranan ahli UMNO akar umbi dan pemimpin peringkat bahagian untuk memaksa PM meletakkan jawatan.
- siapa yang layak menjadi PM selepas paklah turun dari takhtanya.

Mereka juga nampak puas hati dengan penerangan yang disampaikan oleh YAB Tun Dr Mahathir dan segala persoalan mereka kini terjawab. Seterusnya, masing-masing tidak ketinggalan mengambil kesempatan bersalam dan bergambar dengan YAB Tun Dr Mahathir dan YAB Tun Siti Hasmah sebagai tanda ingatan dan kenang-kenangan. Yang akan menjadi ingatan kepada mereka yang hadir pada pagi itu ialah soalan dan rayuan daripada Puan Hamidah Osman – ADUN Sungai Rapat ini ialah penjelasan beliau mengenai keberanian beliau hadir ke majlis tersebut serta kekalahan BN pada PRU12 yang lepas di kawasan beliau dan juga merayu kepada YAB Tun Dr. Mahathir agar kembali semula ke dalam UMNO. Sekali lagi mereka menitiskan air mata - terutamanya wanita.

Dalam pemerhatian saya juga tentang meningkatnya kesedaran rakyat terutamanya ahli Umno akar umbi di negeri Perak ini yang inginkan perubahan drastik di dalam kepimpinan UMNO yang ada sekarang ini. Di negeri Perak ini telah menyaksikan beberapa siri ceramah dan sesi penerangan dan perbincangan secara terbuka berkenaan dengan krisis kepimpinan dan masalah dalaman UMNO sendiri seperti di Teluk Intan sebelum ini dan seterusnya semalam di Ipoh yang dihadiri oleh YAB Tun Dr Mahathir, kemudiannya menyusul pula ceramah dan ucapan daripada Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) pada sebelah petangnya di Casuarina Hotel, Ipoh dan disambung sebelah malamnya “makan malam Bersama Ku Li” pula – dan hari ini 22 Jun (Ahad) , satu acara juga dijadualkan berlangsung di Teluk Intan dimana ahli panelnya ialah Tan Sri Sanusi Junid dan Dato Ruhanie Ahmad. – mesti best dengar dari ‘Otai UMNO’ ini tapi malangnya saya tidak dapat mengikutinya kerana ada kerja lain yang perlu diselesaikan . Banner berkaitan majlis inipun saya nampak semasa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur terletak di persimpangan jalan ke Teluk Intan melalui jalan lama.

Kesimpulannya di sini kebangkitan rakyat telah bermula dari seluruh pelosok Negara dimana Ahli akar umbi mendesak agar kepimpinan yang ada pada hari ini meletakkan jawatan dengan kadar segera supaya “Pelan Merawat UMNO” dapat dilaksanakan dengar segera dan dibincangkan bersama-sama ahli akar umbi dan di peringkat bahagian.

Sekian laporan saya yang agak terperinci sikit dan gambaran yang jelas kepada pengunjung blog saya ini mengenai majlis yang berlangsung di Ipoh pagi semalam dan mungkin membuatkan orang yang membacanya agak bosan kerana terlalu panjang isinya. Tapi inilah kesimpulan dari pemerhatian saya di Ipoh, Perak. Ampun dan maaf saya pinta dari semua jika penulisan saya ini agak tersasar dan terdapat kesalahan di dalam laporan saya ini. Sekali lagi - “ Tahniah & Syabas” kepada oghang perak.


TAMAT

Saturday, June 21, 2008

NAIB KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA

Saya telah umumkan di Dewan Bulan Sabit Merah Perak, (21 Jun 2008) dengan disaksikan Tun Mahathir dan Tan Sri Sanusi Junid untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada pemilihan parti, Disember ini.

Ini berdasarkan rasa tanggungjawab saya untuk memperkuatkan parti keramat UMNO, saya yakin pemilihan jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO, tidak kira siapa yang bertanding nanti atau saudara Naib Ketua Pemuda yang ada sekarang sekalipun pertahankan jawatan tersebut, ia tidak akan memecah-belahkan parti.

Malah ia akan memberikan peluang kepada ahli Pemuda di peringkat akar umbi untuk membuat pilihan sendiri.... saya sekadar calon alternatif untuk sama-sama berjuang dalam memperkasa dan mengembalikan semula kekuatan UMNO, agar terus relevan di hati orang Melayu dan masyarakat Malaysia khususnya.

Sehubungan dengan itu, saya memohon sokongan sahabat-sahabat di peringkat cawangan dan bahagian untuk mencalonkan saya bagi membolehkan saya bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia nanti.

Insya-Allah, marilah kita bersama-sama memperkukuhkana kekuatan, menyatukan azam dan memperkuatkan banteng Pemuda UMNO demi memartabat maruah agama, bangsa dan Negara. Insya-Allah.

Thursday, May 22, 2008

`JANGAN CABAR AHLI UMNO KELUAR PARTI'

Sejak kebelakangan ini, sibuk sangat dengan kerja. Kerja cari makan, kerja politik dan macam-macam lagi. Tu yang tak sempat nak update blog aku nie. Tapi takpelah, blog nie hanya sekadar suara hati aku. Kalau sempat, aku updatelah.

Tapi aku tertarik dengan tulisan yang bertajuk ’ Jangan Cabar Ahli UMNO Keluar Parti’, dari blog
www.sahabatgunung9506.blogspot.com . Sebab tu, aku nak letak tulisan tersebut dalam blog aku, untuk renungan bersama. Buat kawan-kawan lain yang mempunyai idea dan pandangan, emaillah kat aku (azaini.ismail@gmail.com) untuk dimuatkan dalam blog nie. Nak harap aku menulis 24 jam, jangan haraplah. Sekian.


’ Jangan Cabar Ahli UMNO Keluar Parti’

www.sahabatgunung9506.blogspot.com

Keadaan sungguh mengerunkan ketika ini. Isu ‘keluar parti’ sehingga Pak Lah letak jawatan sebagai PM, Presiden UMNO dan Pengerusi BN tidak boleh dibuat main-main. Tapi menjadi harapan aku, agar tiada lagi yang keluar UMNO, hanya kerana tujuan yang aku katakan tadi.

Jika benar sekalipun kita marah dengan Pak Lah, janganlah sampai tinggalkan parti. Bak kata Mukhriz, masih banyak jalan lagi untuk kita gunakan untuk mendesak Pak lah berhenti atau sebagainya.

Pada aku, jalan terbaik ialah di peringkat cawangan Julai ini. Kalau benarlah ada antara kita dah tak boleh menerima Pak Lah sebagai Presiden UMNO, mulakanlah di peringkat cawangan. Datanglah ke mesyuarat cawangan masing-masing, kerana selama ini aku sungguh sedih.... bila cakap politik kat kedai-kedai kopi, berdegar-degar, semangat sana semangat sini. Takkan Melayu hilang di dunialah, pertahankan ketuanan Melayulah, UMNO kena berubahlah.... naik pening aku dibuatnya.

Haaa! Ini masa yang terbaik, jalan yang betul untuk kita semua luahkan pendirian kita. Bak kata orang yang telah menyesatkan aku tercebur dalam politik ni, mg8630 yang kini dahpun minta borang keluar UMNO dari aku, `kita jangan seperti anjing menyalak di tepi bukit .....’.

Meriahkanlah mesyuarat-mesyuarat cawangan Julai ini. Jangan nak membebel kat kedai-kedai kopi ajer. Kemudian bawahlah usul-usul dan cakap-cakap kita tu ke peringkat Bahagian. Kemudian desaklah UMNO bahagian untuk bawa suara-suara akar umbi kita tu ke peringkat nasional, Disember ini.

Itulah jalan UMNO. Jalan terbaik untuk kita menentukan masa depan UMNO, itulah masa terbaik menentukan kepimpinan UMNO bermula dari cawangan sehinggalah ke peringkat bahagian.

Buat kepimpinan UMNO, kena juga dengar suara-suara kat bawah tu, walaupun pahit untuk ditelan. Tapi jangan ada suara-suara pemimpin kita yang mencabar agar ahli-ahli UMNO keluar parti kalau tidak bersetuju dengan kepimpinan, kerana buruk padahnya.

Aku sebenarnya sangat takut dan gerun tengok kawan-kawan aku di akar umbi yang ketika ini, ’sangat berghairah untuk terima ajakan Tun M untuk keluar UMNO’. Aku amat berharap, agar Tun M terimalah hakikat, UMNO lebih penting dari individu yang mendokong UMNO. Tun bagilah peluang kepada ahli-ahli UMNO menentukan nasib kepimpinan UMNO bermula Julai ini hingga Disember.

Aku yakin Tun M sangat sayangkan UMNO. Kalau sayangkan UMNO, berikanlah semangat kepada ahli-ahli UMNO untuk menentukan sendiri masa depan UMNO dengan cara demokrasi UMNO. Kalau kita ajak mereka keluar UMNO, siapa plak yang nak mengundi dan memperbaiki UMNO ikut lunas-lunas yang telah ditetapkan.

Aku yakin, ahli-ahli UMNO hari ini sudah matang dan mampu buat keputusan yang terbaik untuk UMNO, BN dan negara khususnya. Peluang dan ruang harus diberikan sebaik-baiknya kepada ahli-ahli UMNO.

Pada aku, buat masa ini semua pihak harus bertenang khususnya PIHAK-PIHAK MEDIA. Jangan kerana nak dapatkan berita-berita sensasi, masa depan UMNO menjadi pertaruhan.

Aku harap pihak-pihak Editorial/ jabatan pengarang media agar menhentikan dulu masalah-masalah yang terjadi dalam UMNO hari ini. Biar UMNO uruskan dulu masalah mereka dengan cara UMNO. Ini kalau tiap-tiap hari dok soal kem tu, tanya kem ni, cuit kem tu, cuit kem ini .... inilah yang menjadi merebakkan perasaan tidak puas hati satu pihak terhadap pihak yang lain, dan sebaliknya.

Media harus menjadi peranan kepada media rakyat. Isu-isu dan janji kerajaan dan pembangkang untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat harus diberikan keutamaan. Siapa yang berjaya dan siapa yang gagal tunaikan janji pilihanraya dulu, itu harus diberikan keutamaan media arus perdana sekarang.

Dalam masa yang sama, saya berharap semua pihak terutama dalam UMNO dapat bertenang. Janganlah ambil sebarang langkah yang boleh mengeruhkan keadaan.

Ini kerana rakyat memerhatikan cara UMNO menangani kemelut ini. Jika para pemimpin UMNO kelihatan keras dan keterlaluan dalam reaksi mereka terhadap tindakan Dr. Mahathir keluar parti, dikhuatiri akan menjejaskan imej parti.

Kita tidak mahu para pemimpin UMNO dilihat angkuh dan tidak menghormati negarawan yang telah berjasa. Bukankah antara persepsi sebahagian rakyat terhadap BN dan UMNO adalah para pemimpin dan wakil rakyatnya agak angkuh dan tidak lagi membawa aspirasi rakyat.

Ya Allah! Berikanlah kekuatan kepada kami untuk mempertahankan UMNO dari segala masalah dan bencana. Berikanlah kami peluang untuk terus berhidmat di bumimu.

Wednesday, April 30, 2008

Isu Keris : Antara Kepentingan Parti Dengan Maruah Diri

Adam Jalil

Sebagai salah seorang ahli UMNO dan orang Melayu, penulis antara yang pada awalnya tidak dapat menerima tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien memohon maaf kepada kaum bukan Melayu jika peristiwa tradisi menjulang keris di dalam Perhimpunan Agung Pemuda menimbulkan masalah.

Julang Keris Hanyalah Istiadat Acara

Apa salah menghunus keris dalam Perhimpunan Agung Pemuda UMNO? Ia hanyalah satu istiadat perhimpunan yang cuba diwujudkan dalam Pemuda kerana keris melambangkan susur galur perjuangan Melayu.

Bukankah sudah sekian lama istiadat mencium keris dilakukan dalam pelbagai acara orang Melayu? Tidak pula ia menjadi satu isu besar kenapa sekarang?

Lebih mengecilkan hati ahli UMNO ialah apakah kekalahan Barisan Nasional dalam pilihan raya lalu menjadikan kita makin hilang kuasa?

Apakah terhinanya orang Melayu sehingga mencium dan menjulang keris dalam perhimpunan sendiri sudah tidak boleh lagi?

Rasional Di Sebalik Permohonan Maaf

Namun apabila kita memikirkan secara rasional tentulah lama-kelamaan kita menerima rasional keputusan Hishammuddin.

Sebagai ahli politik yang berpengalaman, Hishammuddin sudah dapat melihat bahawa tiada guna berkeras atas isu yang remeh temeh ini sehingga boleh menjejaskan kepentingan parti sama ada BN mahu pun UMNO.

Memang benar ia bukan isu perkauman pun. Namun ia menjadi isu besar kerana terdapat perwakilan pemuda UMNO kemudiannya mempersoalkan Hishammuddin bilakah lagi mahu digunakan keris tersebut.

Di tambah dengan propaganda besar-besaran akhbar berbahasa Mandarin dan blog-blog bukan Melayu milik penyokong DAP, ia telah menjadi satu isu di luar kawalan.

Dari upacara adat istiadat ia telah menjadi satu lambang perkauman.

Menurut pandangan golongan tertentu, isu keris ini memang memainkan peranan dalam menimbulkan kemarahan orang bukan Melayu terutamanya kaum Cina.

Membakar "Diri" Demi UMNO dan BN?

Justeru dari melihat isu ini meleret-leret sehingga menimbulkan pelbagai reaksi negatif pada masa akan datang, Hishammuddin memilih untuk menutup terus isu ini dengan memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang tersinggung kerana istiadat tersebut.

Hishammuddin sedar ia mungkin menjadi lilin yang membakar diri dalam UMNO.

Permohonan maaf beliau yang tidak bertempat ini pasti menimbulkan masalah kepada kerjaya politik beliau pada masa akan datang.

Orang Melayu akan melihat tindakan ini merupakan satu kekalahan moral yang besar kepadanya.

Namun antara kepentingan parti dengan maruah diri, beliau memilih parti. Kerana kekuatan partilah yang meletakkan beliau berada dalam kedudukan sekarang.

Seperti kata pepatah, ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Demikian juga UMNO yang merendah diri sedikit tidak akan hilang kekuatannya jika kita semua memahami hikmah di sebalik peristiwa ini.


(Sumber: Artikel ini saya ambil dari laman web Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia – www.pemuda.com.my)

Tuesday, April 29, 2008

KETUA PEMUDA UMNO: Siapa yang kita nak pilih?

Ketua Pemuda kita, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien akan meninggalkan kita, meninggalkan `zaman Pemudanya’ Disember ini. Sungguh berat untuk membiarkannya pergi, namun setelah hampir 10 tahun bersama Pemuda, banyak ilmu dan barisan pelapis yang telah ditinggalkannya.

Persoalannya kini, setelah Dato’ Hisham pergi, siapa yang akan ganti? Mungkinkah naibnya kini, YB KJ atau EXCOnya, YB Dato’ Mukhriz, atau nama-nama lain yang juga dikatakan berhasrat untuk mengantikan Hisham sebagai Ketua Pemuda.

Khir Toyo, Azimi Daim, Shaziman Mansor malah Zahidi Zainul Abidin turut pernah nyatakan hasrat untuk bertanding. Persoalannya, siapa yang layak, siapa pula yang benar-benar diterima oleh Pemuda di peringkat akar umbi?

Dalam memilih bakal penganti Ketua Pemuda, kita juga harus merenung sedikit pandangan dan nasihat dari bakal bekas Ketua Pemuda kita. Beliau berkata, hanya perwakilan berhak menentukan sama ada barisan pucuk kepimpinan pergerakan itu perlu dikekalkan atau diubah. Tegas beliau, ia merupakan amalan yang sihat dan perlu diteruskan supaya hala tuju pergerakan itu dapat diterima oleh ahli serta orang ramai. Bagaimanapun, katanya, mereka yang menawarkan diri untuk bertanding itu perlu memahami dengan jelas matlamat dan hala tuju yang ingin diterapkan dalam perjuangan pergerakan itu pada masa depan.

''Kalau mereka sendiri tidak faham apa yang ingin dibawa ke depan, bagaimana hendak memimpin pergerakan itu. Perwakilan tidak boleh menyalahkan sesiapa jika mereka tersalah buat keputusan," – Datuk Hisham

Dalam perkembangan lain, EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Idris Haron mencadangkan agar Jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang akan datang diisi oleh mereka yang telah dibentuk dan dibimbing bukannya melalui pertandingan kerana ia dipengaruhi emosi atau desakan. Hishammuddin yang telah mengetuai sayap kanan parti itu sejak sekian lama telah melatih dan membimbing orang tertentu untuk menggantikannya. Setiap Exco Pergerakan Pemuda UMNO masa kini telah dibentuk dan dibimbing untuk menyatakan pendirian masing- masing berhubung hala tuju pergerakan itu pada masa depan.

Thursday, April 17, 2008

Pilih Pemimpin berwibawa- wang ringgit bukan pertimbangan pilih pemimpin

Ahli Pemuda UMNO diingatkan supaya menggunakan sebaik-baiknya peluang pada pemilihan peringkat cawangan, bahagian dan pusat pada tahun ini untuk mengetengahkan pemimpin yang berwibawa dan mampu menggalas tanggungjawab besar pergerakan itu selaras dengan kedudukannya sebagai sayap kanan parti.

Ketua kita yang bakal meninggalkan kita Disember ini telah meminta kita semua, ahli-ahli Pemuda agar bijak menilai keperibadian pemimpin yang mahu kita tonjolkan supaya sesiapa saja yang diangkat bukan hanya mengejar jawatan, sebaliknya dapat menyumbang untuk membantu memperkukuhkan parti yang tercalar berikutan keputusan mengecewakan pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Inilah peluang untuk ahli menilai calon yang mahu mereka ketengahkan untuk memimpin Pergerakan Pemuda UMNO. Biar Pemuda sendiri yang menentukan pemimpin yang mereka mahu baik pada peringkat cawangan, bahagian atau pusat.

Benarkah, selama ini kita akan memandang pada wang ringgit atau habuan yang bakal diperolehi dalam menentukan pemimpin yang ada pada hari ini?

Malah rakyat sendiri sudah bosan dengan tuduhan sama ada dari segi persepsi atau realiti bahawa wang ringgit menjadi pertimbangan pemimpin kita dan kedudukan menjadi perkara yang membelenggu terhadap persepsi orang ramai terhadap kita.

Kalaulah benar ia memang terjadi dalam masyarakat politik kita pada hari ini, Dato’ Hisham memberi ingatan agar jangan lagi kita memberi peluang atau ruang untuk calon ‘wang ringgit’ ini kerana yang akan menentukan pemimpin ialah kita sendiri di peringkat akar umbi.

Pemuda UMNO akan berdepan kesukaran untuk menarik penyertaan generasi muda jika anggota pergerakan itu sentiasa bercakaran dan berebut jawatan selain hanya mengejar wang ringgit, sekali gus menyebabkan parti untuk orang Melayu itu tidak lagi relevan pada masa depan.

Sehubungan itu, katanya, setiap ahli pergerakan itu perlu bertanggungjawab terhadap calon pemimpin yang mereka pilih nanti. Beliau juga mengingatkan ahli bahawa dalam keghairahan mereka memilih pemimpin, pertandingan yang diadakan hendaklah dalam suasana dan semangat kekeluargaan, tertib dan berdisiplin supaya dapat mengelak perpecahan yang berlarutan.

Monday, April 14, 2008

Kembara Seorang Pejuang

Assalammualaikum

Aku bukanlah seorang perwira, gagah menghunus senjata, Namun hati rela berjuang, dengan cara sendiri, demi cinta ini…. Ku ingin, kotakan seribu janji, sepanjang perjalanan ini, ku ingin, sampaikan pesanan….. akulah Penyambung Warisan….

Selamat melayari blog aku yang tidak seberapa ini. Aku ingin menyahut saranan Pergerakan Pemuda UMNO yang mahukan setiap ahli Pemuda yang mahu tawarkan diri untuk bertanding sebarang jawatan dalam parti, untuk membina laman blog masing-masing untuk agar calon tersebut memperkenalkan diri serta menerangkan visi, misi dan aspirasi sekiranya terpilih untuk memimpin pergerakan itu sekali gus membanteras politik wang sewaktu berkempen.

Tapi tujuan aku bukanlah nak bertanding. Tapi aku nak gunakan blog ini sebagai medium untuk aku menyuarakan isi hatiku, dalam pengembaraan perjuangan yang tidak bertepian ini.

Bersama aku, mari kita bersama-sama micarakan apa sahaja topik perjuangan bangsa, merangkumi aspek politik, sosial, ekonomi, bisnes, pendidikan dan apa sahaja isu semasa yang mendasari kehidupan masyarakat Malaysia, khususnya mengenai agenda Melayu….

Emailkan pendapat dan pandangan saudara, tuan-tuan dan puan-puan kepada saya :
azaini.ismail@gmail.com . semoga persahabatan di alam maya ini akan membentuk sebuah ikatakan persabahatan generasi cemerlang, demi pembangunan sebuah masyarakat yang gemilang dan pembinaan Negara yang terbilang. Insya-Allah.